Alhamdulillah dengan izin Allah S.W.T dan kebesarannya, Surau Istiqamah telah dapat meneruskan aktiviti bulanan bagi meneruskan kerja-kerja dakwah, setelah tahun 2008 melabuhkan tirainya, 2009 pula telah pun menjelma, maka aktiviti dakwah kami pun bermula juga untuk tahun 2009 ini. Moga-moga Allah S.W.T memberikan kami kekuatan untuk meneruskan kerja-kerja ini bagi penduduk-penduduk kariah kami ini khususnya dan kepada seluruh kaum muslimin dan juga muslimat Amnya.
Kuliah bulanan kami pada tahun ini dimulakan dengan Ustaz Redza menyampaikan Kuliah bulanannya menyambung kembali Kitab "70 Dosa Besar" yang telah dibincangkan pada pertemuan-pertemuan yang lalu. Kita perlu sentiasa bermuhasabah diri kita , tidak kira bila dan di mana kita berada...Ustaz menekankan walaupun kita yang berjaya menghadirkan diri di surau untuk menambahkan ilmu, mengingati Allah S.W.T, akan tetapi ramai lagi rakan-rakan kita yang tidak berkesampatan untuk menghadirkan diri mereka di Surau-surau. Rasullullah mengajarkan kepada kita untuk memperuntukkan masa-masa tertentu bagi bekerja, berehat dan beribadat kepada Allah, 1/3 untuk bekerja, 1/3 untuk berehat dan 1/3 lagi untuk beribadat kepada Allah S. W.T, begitu islam mengajarkan kita, begitu cantiknya islam itu.
Ibadat pula adalah terlalu luas, walaupun dengan berbual-bual dengan rakan tetapi ianya melibatkan perbincangan mengenai agama, Allah dan Rasul maka itu juga dikira sebagai ibadat. Menyambung semula perbincangan mengenai "70 dosa besar" pada kali ini telah sampai kepada perbincangan mengenai dosa meninggalkan zakat, di mana adalah berdosa besar bagi seorang muslim meninggalkan zakat yang telah diwajibkan kepada mereka. Ini termasuklah Zakat Fitrah yang perlu ditunaikan pada setiap bulan Ramadhan dan juga Zakat Harta (ternakan) / perniagaan. Alhamdulillah Zakat Fitrah memang sentiasa ditunaikan oleh muslimin & muslimat di bulan Ramadhan, cuma perlu lagi diperbaiki cara zakat itu ditunaikan. telah menjadi lumrah umat islam di Malaysia menunaikan zakat secara "last minit" tunggu sehingga 1 Syawal sebelum menunaikan Solat Idulfitri, memanglah ianya afdhal, akan tetapi ini mungkin akan menimbulkan kesulitan kepada kita sendiri, Jabatan-jabatan Agama Islam untuk mengagihkan duit zakat itu sendiri dan sebagainya.
Bagi Zakat Harta(ternakan), perniagaan pula ianya boleh merosakkan akhlah, akidah sekiranya sengaja ditinggalkan, Rasullullah S.A.W berpesan didalam Sabdanya yang antara lain menekankan bahawa di dalam Rezeki yang diterima oleh kita itu terdapatnya rezeki bagi orang lain yang memerlukannya, ini serupa juga dengan solat, sekiranya kita meninggalkan solat secara sengaja boleh sesat, rosak akhlak dan akidah dan kita tidak akan mendapat hidayah daripada Allah S.W.T. Setiap amalan kebajikan kita di dunia ini tidak diterima oleh Allah S.W.T sekiranya kita tidak bersolat.
Sentiasa kita beristighfar, memohon keampunan dari Allah S.W.T agar setiap amalan kita di dunia ini diterima oleh Nya. Kita sentiasa perlu belajar untuk melengkapkan solat kita, Nabi telah tunjukan cara solat yang sebenar. Ustaz juga menekankan bahawa Fatihah adalah rukun wajib didalam solat, Bacaan "Attahiyyat" juga adalah wajib dan selawat keatas nabi itu juga wajib di dalam solat. Anak-anak kita juga perlu ditekankan untuk menunaikan solat pada umur 7 tahun "...muruauladakum bissolah.." suruhlah anak kamu bersolat pada umur 7 tahun.
Ustaz juga mengesyorkan buku bertajuk "Pendidikan Anak-Anak Menurut Islam" buku ini telah diterjemah semula oleh Ustaz Zahazan daripada sebuah kitab Arab. Zakat diwajibkan kepada kita antara tujuan nya ialah untuk melarang kita menjadi kikir dan kedekut, dan untuk melatih diri kita agar sentiasa bersedekah. Kerana di dalam hak kita, ada hak orang lain (seperti di dalam asnaf yang 7). Contohnya di Kemboja dan Palestin. Bagi Zakat harta, kita di Malaysia perlu mengikut Fatwa ulama-ulama Negeri, kalau diwajibkan maka kita perlu ikut. Ustaz juga menekan bahawa Zakat dan sedekah adalah sesuatu yang berbeza. Walaubagaimanapun kita perlu melihat di dalam tahap kewangan kita, dan kadar kemampuan kita. " Hendaklah kamu mengeluarkan sedikit daripada harta kamu sebelum datangnya kematian" . Dan akhir sekali Ustaz mengakhiri kuliah dengan sebuah maksud hadith Rasul S.A.W : 3 orang yang awal masuk neraka: 1. Penguasa, Pemerintah yang kejam 2. orang kaya dan tidak mengeluarkan zakat dan 3. Orang fakir dan miskin tapi sombong.
Wassalam.
No comments:
Post a Comment