Daripada Ibnu Mas’ud r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “ Dua ayat dari akhir surah al-Baqarah, sesiapa yang membacanya maka cukuplah baginya daripada mengadakan qiamullail (atau kedua-duanya akan menjaganya dari segala kejahatan dan perkara-perkara yang tidak disukai.) ”
al-Bukhari dan Muslim
Huraian
Dalam musnad Imam Ahmad, juzuk ke empat, halaman 156 disebut mahfum hadis, "Sesiapa yang menggantung tangkal maka sesungguhnya dia telah melakukan perkara syirik.” Agama Islam amat melarang penggunaan tangkal meskipun tangkal tersebut menggunakan ayat-ayat al-Quran. Mengapa? Kerana untuk mengelak atau menjaga kesucian ayat al-Quran daripada terbawa ke tempat yang kotor seperti ke dalam tandas dan sebagainya selain untuk membulatkan keyakinan dan keimanan kita bahawa Allah SWT bersifat Maha Pelindung kepada manusia daripada segala mara bahaya dan malapetaka. Justeru adalah lebih baik untuk kita sebenarnya menghafal ayat-ayat al-Quran atau beramal dengan ayat-ayat al-Quran serta doa-doa khusus untuk memohon daripada Allah dan menghindari daripada apa yang tidak diingini. Jangan sesekali kita terjebak dengan amalan khurafat, termasuk percaya kepada bomoh yang kononnya dapat membantu menghalau jin dan syaitan yang kebiasaannya mereka memuja mengamalkan perkara khurafat dan syirik kepada ALLAH sedangkan sebesar-besar dosa yang tidak akan diampunkan oleh Allah SWT adalah dosa syirik. Perlu juga diingat bahawa tujuan al-Quran diturunkan bukan semata-mata untuk dijadikan azimat atau hanya disimpan untuk perhiasan di rumah sahaja, tetapi al-Quran diturunkan untuk dibaca, difahami, dikaji, dipelajari, diambil iktibar dan dijadikan pedoman serta diamalkan dalam kehidupan kita seharian. Al-Quran adalah penawar bagi segala penyakit. Allah SWT berfirman dalam Surah Yunus ayat 57, maksudnya: "Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman".
Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
http://ii.islam.gov.my/hadith/hadith1.asp?keyID=1600
APAKAH
KITA MEMAHAMI KANDUNGAN AL QURAN SELAMA HARI INI?
No comments:
Post a Comment